Oleh Ustaz Sayid Amin Jasin
Pensyarah Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri
Daripada Ibn Abbas r.a. , Nabi s.a.w bersabda
yang bermaksud:
"Rebutlah lima keadaan sebelum datang lima
keadaan yang lain, iaitu keadaan mudamu sebelum tuamu, keadaan
sihatmu sebelum kedatangan sakitmu, keadaan kaya sebelum fakirmu,
keadaan lapangmu sebelum waktu sibukmu dan masa hidupmu sebelum
tibanya kematianmu."
Hadis riwayat Imam al-Hakim.
Allah s.w.t telah menciptakan manusia di dunia
ini dengan tujuan mengEsakan Allah dan mengabdikan diri kepadaNya
semata-mata.
Untuk mencapai tujuan ini, Allah azza wajall
tidak membiarkan manusia begitu sahaja, tetapi Allah s.w.t telah
membekalkan kepada manusia segala keperluan bagi melayari bahtera
kehidupan dunia ini dengan pelbagai nikmat yang tidak dapat dikira
manusia; usia, kekuatan, kekayaan, masa, kehidupan dan sebagainya.
Biasanya manusia akan hanyut apabila dikurniakan
dengan nikmat-nikmat seperti, masa lapang yang ada, kekayaan,
zaman mudanya dan juga kesihatannya.
Maka dalam hadis tadi, Rasulullah s.a.w telah
menjelaskan kepada kita kepentingan merebut peluang-peluang
memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t ketika 5 keadaan tadi
yang merupakan takdir baik sebelum datang 5 keadaan lain yang
merupakan takdir buruk bagi manusia.
Marilah kita manfaatkan takdir-takdir yang baik
ini, memperbanyakkan ibadah, saling mengajak kepada kebaikan,
sampaikan yang benar, cegah kemungkaran dengan kebijaksanaan,
supaya kita tidak tergolong diantara orang-orang yang menyesal di
akhirat kelak.