Islam menyeru kita semua untuk menyuruh manusia ke arah
kebaikan dan mencegah kemungkaran. Allah ta'ala berfirman:
"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk
manusia, kamu menyeru kepada yang ma'ruf dan mencegah yang mungkar
dan beriman kepada Allah." (Ali-Imran: 110)
Rasulullah s.a.w pula bersabda
"Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia ubah dengan
tangannya. Jika ia tidak mampu, maka ubahlah dengan lidahnya. Jika
ia tidak mampu, maka ubahlah dengan hatinya. Yang demikian itu
adalah selemah-lemah iman."(Riwayat Muslim)
Menyuruh yang ma'ruf bermaksud untuk menggalakkan orang ramai
untuk terus beramal dengan perintah Allah atau mengajak mereka
yang tidak mengamalkannya untuk mula melakukan perintah Allah.
Manakala mencegah yang mungkar ialah dengan mencegah masyarakat
dari jatuh dalam kemungkaran atau mengajak mereka yang telah
terjerumus dalam kemungkaran untuk meninggalkannya.
Usaha melakukan islah ini merupakan tanggungjawab setiap muslim.
Kita bertangungjawab untuk mengubah diri kita. Kita
bertanggungjawab untuk mengubah cara hidup kita. Kita
bertanggungjawab atas kehidupan keluarga kita. Kita
bertanggungjawab atas masyarakat kita. Jika tiada siapa yang mahu
bertanggungjawab untuk menyeru kepada yang ma'ruf dan mencegah
yang mungkar pastinya kemungkaran akan berleluasa dan bertambah
jauhlah kita dari Allah s.w.t.
Namun dalam usaha untuk melakukan perubahan, perlu diingatkan
bahawa Islam menganjurkan agar apa jua perubahan yang hendak
dilakukan, ia mesti dilakukan secara berhikmah.
Akan tetapi Apabila sesuatu perubahan itu ingin dilakukan
dengan mendadak, ia akan mencetus kesan-kesan negatif seperti
kemudaratan yang lebih besar, kesulitan kepada masyarakat atau
individu berkenaan, melarikan orang lain dari kebaikan atau
mungkin sahaja menyebabkan orang menjadi lebih degil dan terus
melakukan kemungkaran. Kesemua ini hanya akan menimbulkan fitnah
pada Islam dan umatnya.
Jika kita mengkaji cara dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah
s.a.w, kita akan dapati bahawa beliau sentiasa menjaga prinsip
bertahap-tahap dalam mengubah kaumnya. Rasulullah s.a.w bahkan
mengajar sahabatnya untuk mengamalkan bertahap-tahap dalam
melakukan perubahan. Beliau bersabda kepada Mu`az ketika
menghantarnya ke Yaman;
"Sesungguhnya engkau akan mendatangi kaum dari Ahli Kitab.
Maka jika kamu telah datang kepada mereka, ajaklah mereka untuk
bersyahadah bahawa sesungguhnya tiada tuhan selain Allah dan
sesungguhnya Muhamad adalah Rasulullah. Jika mereka telah
mentaatimu dengan ajakanmu itu, maka beritahukan kepada mereka
bahawa Allah mewajibkan atas mereka solat lima waktu dalam sehari
semalam. Jika mereka telah mentaati perintahmu, maka beritahulah
kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka sedekah
(zakat) yang diambil atau dipungut dari orang-orang kaya mereka
kemudian dibahagikan kepada orang-orang miskin di antara mereka.
Jika mereka telah mentaati perintahmu itu, maka janganlah kamu
mengambil harta mereka yang berharga, dan takutilah kamu terhadap
doa orang yang dizalimi. Sesungguhnya tidak ada hijab antara doa
mereka dengan Allah."(Riwayat Al-Bukhari)
Ini sesuai dengan firman Allah: Serulah (dakwahlah) ke jalan
Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang
baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu)
dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia-lah jua yang
lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia lah
jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah
petunjuk. [Al-Nahl 125]