Oleh Maimunah Jamil
Asatizah Cordova
Kita seringkali mendengar pertanyaan mengenai kaitan antara Al-Quran dan
Sains. Terdapat banyak contoh yang boleh dikupas antaranya berkaitan sains dan
embriologi.
Apa yang kita faham dari maksud Embriologi? Embriologi ialah satu ilmu yang
mengkaji tentang proses kejadian dan perkembangan embrio dalam rahim. Mungkin
ada di antara kita pernah terfkir dari mana asal usul kita? Adakah sama seperti
kejadian Adam a.s yang berasal dari tanah?
Sesungguhnya penciptaan Adam a.s berbeza dari kita yang berasal dari benih
lelaki dan wanita.
Embrio terbentuk setelah percantuman benih lelaki (sperma) yang terdapat
dalam air mani dengan benih wanita (ovum)yang terdapat dalam cecair dalam
ovari.
Selepas percantuman benih atau persenyawaan berlaku, kejadian bayi bermula
dari satu tahap ke tahap yang lain.
Pada peringkat awal, bayi dikenali sebagai embrio dan berubah menjadi
alaqah(segumpal darah)dan bertukar menjadi mudghah iaitu "daging yang sedikit
yang sebahagian daripadanya telah dikunyah". Kemudian embrio ditutup dengan
tulang dan daging.
Hal ini dinyatakan dalam surah al-Mukminun ayat 14: "Kemudian air mani itu
kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal
daging dan segumpal daging itu kami jadikan tulang belulang, lalu tulang
belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang
berbentuk lain. Maka Maha suci Allah Pencipta yang paling baik."
Selepas embrio memasuki enam minggu, berlakulah pembentukan organ dan pada
peringkat ini dikenali sebagai janin atau human foetus.
Cuba kita renungkan fakta-fakta yang telah dibentangkan tadi telah
diceritakan al-Quran mengenai perkembangan embrio sejak Al-Quran diturunkan
kepada Nabi Muhammad SAW 1400 tahun yang lalu dan maklumat - maklumat tersebut
selari dengan sains kontemporari yang mula membincangkannya pada abad kelima
belas Masihi. Semoga kita sama-sama memperolehi barakah, taufeeq dan hidayah
darinya. Allahu A'lam