Oleh Ustazah Khaafizah Md Hanif
Ketua Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Darul Andalus
Solat adalah ibadah yang paling utama dalam
Islam. Ia diibaratkan sebagai 'imaaduddin' atau 'tiang agama'.
Namun pada hari ini, ada di antara kita yang rasa terbeban untuk
melakukan solat. Mungkin kerana malas, sibuk, penat, atau mungkin
juga solat yang dilakukan seperti tiada kesan. Padahal solat
adalah keperluan manusia, seperti mana kita perlu udara untuk
bernafas, serta makan dan minum untuk mengisi perut. Begitu juga
dengan solat 5 waktu yang berfungsi sebagai 'charger' untuk
memulihkan jiwa kita.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Jika ada sebatang sungai yang mengalir di hadapan pintu
rumah salah seorang daripada kamu, lalu dia mandi di sungai itu 5
kali sehari, adakah masih terdapat kotoran (pada badannya)?"
Para sahabat menjawab, "Tidak akan tertinggal sedikit pun
kotoran." Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, "Maka
begitulah solat 5 waktu. Melalui solat, Allah akan mengampunkan
dosanya."
Dalam hidup, ada kalanya kita menghadapi
kesulitan sehingga tubuh dan fikiran kita merasa letih dan
tertekan. Namun melalui solat, kita diajak untuk mengingati Allah
dan mengadu kepadaNya. Dan Allah akan mengampunkan dan memberi
ketenangan pada jiwa kita. Begitulah peranan solat 5 waktu yang
terus-menerus memberi kekuatan pada jiwa seorang Muslim. Maka
rugilah orang yang tidak melakukan solat kerana menganggapnya
sebagai suatu beban, sedangkan solat itu sendiri yang dapat
meringankan beban manusia.
Akhir kata, semoga Allah mudahkan kita dalam
melaksanakan ibadah solat dan memeliharanya pada setiap waktu.
Sekian. Wassalaamu'alaikum wr wb.